TEMPAT UTAMA KETIKA UMRAH & HAJI

GUA TSUR

SEJARAH GUA TSUR PENGENALAN Ia merupakan salah satu sebab mengapa Nabi Muhammad melakukan hijrah pada tahun 622 dari Makkah menuju Yastr...

Tuesday 13 November 2018

MINA

Mina merupakan salah satu daripada al-Masy'ar al-Haram. Terletak di dalam kawasan Tanah Haram di antara Makkah dan Muzdalifah, iaitu di sekitar 7km dari bahagian timur laut Masjidil Haram. Jika melalui terowong pula jaraknya 4km.




Dinamakan Mina kerana beberapa faktor:

  • banyak darah korban yang ditumpahkan 
  • bermaksud tempat manusia berkumpul kerana di situ berkumpulnya para manusia (jemaah haji)
  • bermaksud cita-cita dan harapan iaitu harapan Nabi Adam kepada Jibrail bahawa baginda mengharapkan syurga apabila Jibrail bertanya tentang perkara yang dihajati oleh baginda sebelum terpisah di Mina.

Mina ialah tempat para jemaah haji berkumpul pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sehingga matahari naik di atas Bukit Thabir pada hari Arafah (9 Zulhijah) dan kembali semula pada Hari Raya Korban serta bermalam (mabit) pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) yang berikutnya.Dinamakan tarwiyah kerana para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka dia Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.



Para jemaah haji juga melakukan salah satu amalan yang wajib dalam ibadat haji iaitu melontar di tiga Jamarat.Menyembelih hadyu (korban atau dam) mereka sebagai mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w, yang melakukannya telah melontar syaitan dan menyembelih kibas sebagai ganti sembelihan untuk anaknya Nabi Ismail a.s.

Kawasan sempadan bagi Mina adalah Wadi Muhassir sehingga ke al-Aqabah iaitu tempat terletaknya Jamrah yang paling dekat dengan Makkah dan dinamakan sebagai Jamratul Aqabah.Perjanjian Aqabah 1 dan 2 berlaku berdekatan dengan Jamratul Aqabah,iaitu tempat di mana Rasulullah s.a.w telah menerima sumpah setia (bai'ah) daripada kaum Ansar dahulu.

Jumlah keluasan Mina ialah 8.6 km persegi namun keluasan yang dikhususkan untuk jemaah haji ialah 2.5 km persegi setelah ditolak kawasan lembah,puncak bukit,jalan raya dan  pejabat kerajaan.

Antara kelebihan Mina:

  • - salah satu tempat manasik haji
  • - tempat Allah telah menghantar kibas kepada Nabi Ibrahim a.s sebagai ganti sembelihan untuk anaknya Ismail a.s.
  • - turunnya surah al-Nasr di sini pada Hari Hajjatul Wada'.
  • - turunnya surah al-Mursalat ketika Rasulullah s.a.w berada di dalam sebuh gua di Mina dan gua itu telah diberikan nama Gua Mursalat dan juga terletak di Bukit Sobih,menghadap ke arah Yaman iaitu di belakang masjid Khaif.
  • - sewaktu Hajjatul Wada' Rasulullah saw telah mengorbankan 100 ekor unta dan 63 ekor daripadanya disembelih menggunakan tangan baginda.Manakala selebihnya oleh Saidina Ali ra.Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Mina itu seperti rahim.Ketika terjadi kehamilan daerah ini diluaskan oleh Allah."     (Sahih Muslim)

Hari-Hari Mina merupakan hari yang besar dalam Islam.Antara hari-hari Mina tersebut ialah:

  •  10 Zulhijah - juga dinamakan Yaum al-Nahri (hari sembelih korban),Yaum 'Eidil Adha,Yaum Hajj al-Akbar (hari-hari yang besar kerana beberapa amalan haji dilakukan pada hari Mina.
  •   11,12,13 Zulhijjah - dinamakan Hari Tasyrik kerana para jemaah haji menjemur daging korban mereka pada hari ini kerana Mina dicerahi dengan cahaya matahari di siang hari dan dicerahi dengan cahaya bulan pada malamnya.11 Zulhijah dikenali dengan Yaum al-Qarr (hari tetap dan hari berehat di Mina).Hari ke 12 Zulhijah pulak ialah hari Nafar Awal yang bermaksud hari jemaah haji dibenarkan berangkat meninggalkan Mina dan hari ke 13 dinamakan hari Nafar Thani.
Hari-hari Mina terbahagi kepada dua:
  •  Ayyam Ma'dudat - hari-hari yang berbilang.Maksud berbilang ialah jemaah haji mempunyai pilihan untuk meninggalkan Mina samasa petang hari terakhir dari hari Tasyrik atau pada petang hari kedua sebelum terbenam matahari.
  •  Ayyam Ma'lumat hari-hari yang maklum (ditentukan) iaitu hari-hari yang dibenarkan menyembelih korban iaitu bermula pada hari raya dan dua dan tiga hari selepasnya.

Terdapat juga beberapa tempat penting dan bersejarah di Mina. Antaranya ialah:

  • Masjid Khaif 
        - 'Khaif" dari segi bahasa bermaksud tempat yang rendah di tepi bukit yang keras dan lebih tinggi daripada laluan air. Masjid ini terletak di kaki bukit Sobih di bahagian selatan Mina, berhampiran dengan Jamrah al-Sughra. Antara kelebihan masjid ini ialah 70 orang nabi telah solat di masjid ini termasuk Nabi Musa a.s. Rasulullah s.a.w juga telah bersolat disini.



  • Jamrah
       - Dalam bahasa arab ia bermaksud batu kecil. Sebab dinamakan Jamrah kerana anak batu dilontar ke arahnya. Terdapat tiga Jamrah yang termasuk dalam manasik haji di Mina iaitu Jamrah al-Sughra, Wustha dan al-Aqabah. Pada asalnya Jamrah Aqabah hanya boleh dilontar dari satu sudut sahaja kerana sudut lain adalah bukit tetapi pada tahun 1376 H, kerajaan Saudi telah meratakan bukit tersebut. Pada tahun 1383 H, sebuah jambatan dibina untuk melontar dari tingkat atas bagi mengurangkan kesesakan. Kemudian pada 1427 H, (2006 M) dibina lima tingkat jambatan. Jarak antara Jamrah Aqabah dengan Jamrah Wustha ialah 247 meter manakala jarak di antara Jamrah Wustha dengan Jamrah Sughra ialah 200 meter.




      - Melontar Jamrah ini adalah simbolik kepada pertentangan permusuhan kita dengan syaitan dan juga mengikuti sunnah Nabi Ibrahim dan Nabi Ibrahim telah diperintahkan untuk mengerjakan haji, baginda yang ditemani Jibrail bergerak menuju ke Jamrah Aqabah. Dalam perjalanan syaitan cuba menghalangnya  tetapi telah dilontar dengan 7 biji anak batu oleh Nabi Ibrahim sehingga tersungkur. Ketika sampai ke Jamrah Wusta,sekali lagi syaitan menghalangnya dan Nabi Ibrahim melontarnya dengan 7 biji anak batu lagi. Begitu seterusnya di Jamrah Aqabah dan syaitan terus lenyap.

     - Diceritakan juga, ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail, syaitan datang untuk meracuni Nabi Ibrahim tetapi tidak berjaya bahkan Nabi Ibrahim melontar syaitan dengan batu. Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Ibrahim berada di Jamrah Sughra. Ketika berada di Jamrah Wusta, syaitan pula menghasut Siti Hajar tetapi tidak berjaya bahkan Siti Hajar melontar batu juga. Akhirnya syaitan cuba menghasut Nabi Ismail dan Nabi Ismail melalukan perkara yang sama.